Dari Anas رضي الله عنه katanya: "Ketika Nabi صلی الله عليه وسلم sudah
berat sakitnya, maka beliaupun diliputi oleh kedukaan - kerana
menghadapi sakratulmaut, kemudian Fathimah radhiallahu 'anha berkata:
''Aduhai kesukaran yang dihadapi ayahanda." Beliau صلی الله عليه وسلم lalu bersabda: "Ayahmu tidak akan memperoleh kesukaran lagi sesudah hari ini."
Selanjutnya setelah beliau صلی الله عليه وسلم wafat, Fathimah berkata: "Aduhai ayahanda, beliau telah memenuhi panggilan Tuhannya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya."
Kemudian setelah beliau dikebumikan, Fathimah radhiallahuanha berkata pula: "Hai Anas, mengapa hatimu semua merasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah صلی الله عليه وسلم itu?"
Maksudnya: Melihat betapa besar kecintaan para sahabat kepada beliau صلی الله عليه وسلم itu tentunya akan merasa tidak sampai hati mereka untuk menutupi makam Rasulullah صلی الله عليه وسلم dengan tanah.
Mendengar ucapan Fathimah رضي الله عنها ini, Anas رضي الله عنه diam belaka dan tentunya dalam hati ia berkata: "Hati memang tidak sampai berbuat demikian, tetapi sudah demikian itulah yang diperintahkan oleh beliau صلی الله عليه وسلم sendiri." (Riwayat Bukhari)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar